PUTRAJAYA | Sebanyak 59 kilang diarahkan tutup manakala 75 lagi dikenakan kompaun kerana melanggar SOP diwartakan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dalam usaha untuk memastikan semua pihak terutama pemain industri dan perkilangan mematuhi SOP sepanjang PKP 3.0, kerajaan telah meningkatkan operasi pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana- mana pihak didapati melanggar SOP yang telah diwartakan.
Menurutnya, langkah itu dikuatkuasakan susulan kerajaan telah menerima banyak aduan berkaitan industri dan premis perniagaan yang tiada dalam senarai perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang tempoh pelaksanaan PKP ketika ini.
“Sejak 1 Jun sehingga 9 Jun 2021, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah melakukan pemeriksaan ke atas 268 buah kilang bagi memastikan tiada pelanggaran SOP.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 75 buah kilang dikenakan kompaun manakala 59 lagi diarahkan tutup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri juga memberitahu, sebanyak 165 operasi sanitasi meliputi 75 zon merah, zon jingga (1) dan zon kuning (4) telah dilaksanakan di seluruh negara pada semalam.
Katanya, operasi sanitasi itu melibatkan 1,028 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 190 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta 156 buah jentera JBPM.
Secara kumulatifnya, katanya, sebanyak 27,079 operasi sanitasi merangkumi 157 zon dilakukan sejak 30 Mac 2020. Operasi sanitasi melibatkan pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat, tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan.