GENEVA | Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata dunia menyaksikan peningkatan buruh kanak-kanak buat kali pertama dalam dua dekad dan jutaan lagi dijangka mengalami nasib sama berikutan krisis COVID-19.
Menurut laporan bersama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan agensi Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), terdapat 160 juta buruh kanak-kanak pada awal 2020 iaitu peningkatan 8.4 juta dalam tempoh empat tahun.
Laporan itu menyatakan, ia bermula sebelum pandemik melanda dan menandakan pembalikan dramatik daripada trend menurun yang menyaksikan jumlah pekerja kanak-kanak menyusut sebanyak 94 juta antara tahun 2000 dan 2016.
Ketika pandemik mula memuncak, hampir satu daripada 10 kanak-kanak di seluruh dunia terbabit dalam buruh kanak-kanak, dengan sub-Sahara Afrika yang paling teruk terjejas.Agensi itu berkata, walaupun peratusan tetap sama seperti pada tahun 2016, pertumbuhan penduduk bermaksud jumlahnya meningkat dengan ketara dan pandemik memburukkan lagi keadaan dengan ketara.
Ia memberi amaran bahawa kecuali jika tindakan mendesak diambil untuk menolong sejumlah keluarga yang terjerumus ke dalam kemiskinan, hampir 50 juta lebih kanak-kanak dipaksa menjadi buruh dalam tempoh dua tahun akan datang.
Pengarah Eksekutif UNICEF, Henrietta Fore, memberitahu wartawan, krisis COVIID-19 membuatkan keadaan yang buruk menjadi bertambah teruk.
“Sekarang ini memasuki tahun kedua penutupan global, penutupan sekolah, gangguan ekonomi, dan pengurangan bajet nasional, keluarga terpaksa membuat pilihan yang memilukan,” katanya.
Menurut laporan itu lagi, sekiranya unjuran kemiskinan terbaru meningkat kerana pandemik, sembilan juta kanak-kanak lagi akan terjerumus menjadi buruh kanak-kanak pada akhir 2022.
Menurut Pakar Statistik UNICEF, Claudia Cappa, yang turut menulis laporan berkenaan, statistik menunjukkan bahawa jumlahnya berpotensi menjadi lima kali lebih tinggi.
“Jika liputan perlindungan sosial merosot dari tahap semasa… akibat langkah berjimat cermat dan faktor lain, jumlah kanak-kanak menjadi tenaga buruh akan meningkat kepada 46 juta pada akhir tahun depan,” katanya kepada AFP.
Laporan itu yang diterbitkan setiap empat tahun, menunjukkan bahawa kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun menyumbang kepada lebih separuh daripada jumlah global. – AFP