KOTA BHARU | Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan hingga mangsa kerugian RM40,000, bulan lalu.
Tertuduh, Wan Azmi Wan Abdullah, 38, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja rompak berkumpulan hingga menyebabkan seorang wanita berusia 42 tahun mengalami kerugian RM40,000 di depan pintu Pasar Gok Kapor di sini, jam 5.50 petang, pada 19 Mei 2021.
Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan memohon tarikh untuk serahan dokumen.
Tertuduh memohon supaya mahkamah membenarkan jaminan kerana dirinya mempunyai dua anak dan isteri sedang mengandung.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 13 Julai untuk sebutan semula kes.-JOURNAL MALAYSIA