Rakyat tidak perlu panik atau mudah mempercayai pelbagai spekulasi susulan pemimpin parti politik dititah menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Walaupun ada pihak tertentu termasuk media sosial memberi gambaran akan ada sesuatu berlaku kepada pentadbiran kerajaan, orang ramai perlu faham takrifan Raja Berperlembagaan di negara ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, bukan sesuatu yang pelik pertemuan ketua-ketua parti politik bersama Yang di-Pertuan Agong selama beberapa hari bermula, semalam.
Tegasnya, Yang di-Pertuan Agong bersifat berunding atau menasihati apatah lagi Al-Sultan Abdullah cukup dikenali sebagai berjiwa rakyat serta kerap mendampingi rakyat.
“Apapun, baginda juga tahu dengan bersifat demikian, baginda juga perlu akur nasihat Perdana Menteri yang mewakili anggota Kabinet.
“Baginda juga sedar, he is above all. Baginda tidak mahu terbabit hal mikro politik rakyat di bawah. Ini yang selalu, baginda fikirkan.
“Justeru itu, apa juga pendapat atau pandangan yang diterima oleh baginda daripada pihak lain termasuk pemimpin-pemimpin politik tentunya akan dibincangkan dengan Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Mersing itu.
Tambahnya, sewaktu menerima latihan di akademi tentera terulung Standhurst England, Al-Sultan Abdullah ditakdirkan bersama anak raja dari Timur Tengah yang sekarang menjadi raja di negara yang mengamalkan Obsolute Monarchy, sekaligus amat berbeza dengan Malaysia yang mengamalkan Raja Berperlembagaan seperti United Kingdom.
Menurut Abd Latiff, pihak Istana Negara sudah memaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan menganjurkan sesi perbincangan khas Raja-Raja Melayu pada 16 Jun berhubung isu-isu semasa khususnya berkaitan memerangi penularan wabak COVID-19 dalam masa darurat.-PN BBC