KUALA LUMPUR | Kerajaan memfokuskan usaha bagi mestabilkan harga minyak masak tidak bersubsisi di negara ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, usaha itu dilakukan dengan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dan beberapa pemain industri sawit terkemuka negara secara maya.
“Fokus utama perbincangan selepas mesyuarat bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan bersama Kabinet itu menumpukan kepada syor dan cadangan yang konkrit dapat disepakati untuk memastikan rakyat dapat menikmati harga minyak masak yang berpatutan selain memperoleh situasi menang-menang antara pemain industri, peruncit dan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Perbicangan secara maya turut dihadiri Pengurusan Tertinggi KPPK, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Ravi Muthaya; Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Mad Zaidi Mohd Karli dan Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPOA, Datuk Mohd Nageeb Abdul Wahab; Pengarah Urusan Kumpulan IOI, Datuk Lee Yeow Chor; Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby, Mohamad Helmy Othman Basha dan wakil CEO FGV Holding Berhad, Azman Ahmad.
Media sebelum ini melaporkan, harga minyak masak botol 2 kilogram (kg) dan 5kg dikesan naik di daerah Bukit Tanah, Melaka sejak beberapa hari lalu, dipercayai berikutan kenaikan harga minyak sawit di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Harga minyak masak 2kg naik kepada antara RM12 hingga RM12.50 berbanding antara RM9 hingga RM10 sebelum ini manakala harga 5kg naik kepada antara RM33 hingga RM33.50 berbanding antara RM24.50 hingga RM27.50 sebelum ini.