PUTRAJAYA | Syarikat Austria Technologie & Systemtwchnic AG (AT&S) yang merupakan pengeluar utama dunia produk high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates bakal melabur sebanyak RM8.5 bilion bagi membangunkan fasiliti perkilangan mereka di Malaysia.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kilang itu akan di bangunkan di Kulim High Technology Park (KHTP), Kedah dan merupakan yang pertama di Asia Tenggara.
Katanya, beliau difahamkan bahawa pelaburan ini adalah yang terbesar dalam sejarah syarikat AT&S.
“Ketua Pegawai Eksekutif, Andreas Gerstenmayer turut memaklumkan bahawa pelaburan AT&S di KHTP bagi mengeluarkan high-end printed circuit boards (PCB) dan integrated circuit (IC) substrates akan bermula pada separuh tahun kedua tahun ini, manakala aktiviti komersial pula dijangka bermula pada tahun 2024.
“Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia telah menyuarakan perasaan sukacita dan amat mengalu-alukan keputusan syarikat AT&S untuk melabur di Malaysia.
“Projek tersebut juga adalah salah satu projek pelaburan yang berjaya dibawa masuk ke negara ini di bawah Skim Galakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) dan mampu menjana 5,000 peluang pekerjaan.
Beliau berkata, Kerajaan Malaysia adalah amat mesra pelaburan dan sentiasa mengalu-alukan kemasukan pelaburan baharu dan berkualiti ke negara ini terutama, dalam bidang teknologi dan inovasi.
Katanya, kerajaan menegaskan bahawa Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan memastikan supaya pelaksanaan projek yang telah dirancang oleh syarikat AT&S akan dapat berjalan dengan lancar.
“Pelaburan daripada AT&S ini jelas menunjukkan keyakinan pelabur asing untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan walaupun dunia sedang berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.
“Trend ini konsisten dengan jumlah pelaburan yang diluluskan pada suku pertama 2021 seperti yang diumumkan oleh MITI dan MIDA semalam berjumlah RM80.6 bilion dalam sektor pengeluaran, perkhidmatan dan industri primer yang menunjukkan peningkatan 95.6 peratus dari suku yang sama tahun lepas,” katanya.
Muhyiddin berkata, trend seperti ini menunjukkan bahawa komuniti pelaburan yakin terhadap prospek pemulihan ekonomi negara.
Katanya, Kerajaan Malaysia akan terus meningkatkan usaha untuk menarik pelabur asing dan tempatan untuk terus melabur dan memperbanyak peluang pekerjaan, sekaligus membantu pemulihan ekonomi Malaysia dan meningkatkan kesejahteraan rakyat dalam berhadapan cabaran ekonomi ketika pandemik COVID-19.