KOTA BHARU | Seorang petani didakwa di Mahkamah Seysen di sini, hari ini atas dua pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 11 butir peluru, dua minggu lalu.
Tertuduh, Mohd Faeez Awang, 29, mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki senjata api sepucuk pistol semiauto Mod 213 9MM Tara No Siri 108791 dan satu kelopak pistol warna perak tanpa kebenaran yang sah.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebatan tidak kurang enam kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa memiliki 11 butir peluru jenis 9MM Luger PMC tanpa kebenaran yang sah.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di Kampung Kelubi, Jalan Kota Bharu di Pasir Puteh kira-kira jam 9.45 malam pada 29 Mei lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalnaa Zainal Abidin yang tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius dan tidak boleh jamin.
Peguam bela, Ahmad Adha Amir Yasser memohon tertuduh yang masih bujang itu diikat jamin kerana lelaki itu adalah anak sulung daripada lapan beradik dan membantu bapanya di kebun sayur-sayuran.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang ikat jamin kepada tertuduh dan menetapkan 13 Julai depan untuk sebutan semula kes.-JOURNAL MALAYSIA