PUTRAJAYA | Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah dan bangga atas pencapaian keputusan SPM tahun 2020 yang terbaik dalam tempoh lima tahun.
Muhyiddin berkata, meskipun berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19 dan diuji dengan cabaran yang getir namun berbekalkan semangat serta keazaman tinggi dengan sokongan semua pihak, cabaran itu berjaya anda harungi.
“Hari ini anak-anak yang menduduki SPM 2020 telah pun menerima keputusan peperiksaan masing-masing dan Alhamdulillah, saya mengambil maklum bahawa keputusan SPM tahun 2020 adalah pencapaian terbaik dalam tempoh 5 tahun.
“Saya doakan agar anda semua memperoleh keputusan yang cemerlang. Bagaimanapun, sekiranya keputusan yang diterima bukanlah seperti yang diharapkan, jangan sesekali berputus asa.
“Saya berbangga kerana setiap daripada anda adalah individu yang hebat memandangkan peperiksaan kali ini amat jauh berbeza cabarannya berbanding tahun-tahun sudah dalam situasi negara dan dunia bergelut dengan pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, Muhyiddin juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada ibu bapa dan guru-guru yang telah berhempas-pulas berusaha bagi membantu pelajar mengharungi peperiksaan dalam masa yang amat mencabar ini.
“Usaha berlipat ganda ibu bapa dan guru-guru sudah pun dilakukan menerusi proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) yang penuh mencabar dalam suasana norma baharu.
“Sudah pasti harapan tinggi diletakkan agar semua usaha itu membuahkan hasil yang memberangsangkan. Namun, kepada anak-anak semua, jika keputusan yang diperoleh hari ini tidak seperti yang diharapkan, ia bukanlah penamat,” katanya.
Nasihat Muhyiddin, perjalanan dan perjuangan hidup anda baru bermula bahkan banyak lagi ilmu serta bidang belum diteroka dan juga pengalaman yang belum ditempuh.
“Jadikan keputusan yang diterima hari ini sebagai penyuntik semangat untuk anda terus berusaha bagi memastikan kehidupan serta masa depan yang terjamin.
“Sekali lagi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang menerima keputusan peperiksaan SPM hari ini,” katanya.