ALOR SETAR | Sebuah rumah judi yang didalangi warganegara China mampu mengaut keuntungan RM300,000 hingga RM500,000 sebulan, kata Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Beliau berkata demikian selepas berjaya melakukan tiga serbuan berasingan di tiga buah premis yang disyaki menjalankan aktiviti perjudian atas talian dan penipuan pelaburan di sekitar di sekitar Daerah Kota Setar, di sini.
Katanya, kejayaan serbuan ini adalah hasil daripada maklumat risikan dan intipan yang dijalankan selama satu minggu.
“Dalam serbuan yang dilakukan semalam jam 3.40 petang terhadap sebuah rumah dikawasan Alor Setar dan telah berjaya menangkap dua lelaki warga negara China, dua lelaki bangsa Cina, seorang perempuan warga China dan dua perempuan bangsa Cina berusia lingkungan 22 tahun hingga 68 tahun yang berada di dalam rumah tersebut semasa serbuan.
“Antara rampasan yang berjaya dibuat adalah, satu unit komputer riba, 25 buah telefon bimbit satu unit router dua unit modem wifi sebuah motokar,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK), hari ini.
Beliau berkata pada 6 Jun lalu, pihaknya turut melakukan serbuan di sebuah rumah di Alor Setar, pada 3.40 petang.
Katanya, dalam serbuan tersebut pihaknya telah berjaya menangkap dua lelaki warga China, lima lelaki termasuk seorang perempuan berbangsa Cina yang berusia lingkungan 20 hingga 43 tahun.
“Menurut rekod, lelaki yang di tangkap ini masih dikehendaki oleh pihak polis (wanted person) berkaitan kes jenayah perjudian di daerah Kota Setar.
“Antara rampasan yang berjaya dibuat adalah sembilan unit komputer riba pelbagai jenama, lima unit router, 161 buah telefon bimbit pelbagai jenama dan dua buah motokar,” katanya.
Kamarul Zaman berkata lagi, dalam serbuan lain pada tarikh dan waktu yang sama di sebuah rumah di Alor Setar, pihaknya berjaya empat orang yang berusia 20 hingga 30 tahun.
Katanya, antara yang ditahan adalah dua lelaki warga Cina dan seorang lelaki serta perempuan berbangsa Cina.
“Dalam serbuan itu, kami merampas seunit komputer riba, dua unit tablet dan sembilan buah telefon bimbit pelbagai jenama.
“Siasatan awal mendapati semua yang ditahan mengaku melakukan aktiviti mempromosi perjudian atas talian dan juga melakukan penipuan pelaburan wang krypto (bitcoin).
“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan memujudkan “whatsapp group” dengan pelanggan yang disasarkan untuk membuat promosi perjudian atas talian dan juga pelaburan mata wang krypto,” katanya.
Menurutnya, seterusnya sindiket akan berinteraksi dengan pelanggan yang berminat untuk melabur sebelum menipu pelanggan-pelanggan tersebut dan laman sesawang yang digunakan adalah ‘bittbay88.com.
Katanya, sindiket mensasarkan mangsa dari negara Kanada dan negara Asia
“Sindiket ini bergiat aktif sejak Mac lalu dan mampu mengaut keuntungan RM300,000 hingga RM500,000 sebulan bagi setiap premis yang beroperasi.
“Kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Akta Imigresen 1959/1963 dab Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (langkah-langkah didalam kawasan tempatan jangkitan) (n0.2) 2021.
Jumlah tangkapan adalah seramai 19 orang yang terdiri lapan lelaki dan empat perempuan tempatan, enam lelaki serta seorang wanita warga China.
Kesemua mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut selama tiga hari bermula hari ini.