KUALA LUMPUR | Seorang lelaki berusia 45 tahun meninggal dunia akibat dijangkiti rabies di Sarawak pada jam 1.24 pagi, pada 12 Mei lalu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Facebook memaklumkan kes disahkan positif pada 11 Mei lalu.
Katanya, lelaki berkenaan tinggal di sebuah rumah pekerja kilang papan di Stapang, Selangau, Sarawak dimasukkan ke wad Hospital Sibu pada 6 Mei disebabkan mengalami gejala demam, sakit kepala, sakit tekak, sakit semasa minum air dan hydrophobia.
“Keadaan lelaki itu semakin merosot dan berada dalam keadaan kritikal mulai 9 Mei. Sampel klinikal untuk ujian pengesanan virus rabies telah diambil dan dihantar ke makmal Hospital Umum Sarawak dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pada 10 Mei.
“Keputusan sampel dilaporkan positif rabies pada 11 Mei sebelum meninggal keesokannya.
“Dengan pertambahan kes baharu ini menjadikan jumlah terkini kes rabies di kalangan manusia di Sarawak untuk tahun tahun ini adalah empat kes,” katanya menerusi laman Facebook di sini hari ini.
KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.-JOURNAL MALAYSIA