By Ismail Muhamad
KOTA BHARU | Seramai 31 petugas media di negeri ini menerima suntikan vaksin Covid 19 di Dewan Teratai Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.
Wartawan dan jurugambar yang mewakili pelbagai agensi media yang menjadi ahli kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) antaranya akhbar Berita Harian, Harian Metro, New Straits Times (NST), Sinar Harian, Utusan Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional (BERNAMA), Harakah China Press dan Sin Chew Jit Poh.
Petugas media yang hadir 10 pagi menerima vaksin Covid 19 bagi dos kali pertama.
Presiden KEMUDI, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi berkata, suntikan vaksin kepada petugas media memandangkan kerjaya mereka menuntut keperluan bertugas di barisan hadapan dan bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat.
Katanya, pihaknya terpanggil untuk menyenaraikan nama petugas mengikut agensi media di negeri ini yang menjadi ahli di bawah KEMUDI.
“Penantian warga media di Kelantan akhirnya hari ini kami semua menerima suntikan dos pertama yang dianggap penting dalam usaha mengatasi penularan Covid 19.
“Warga media akan lebih bersemangat dan yakin untuk menjalankan tugas bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat, ” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Shahnun Hanif turut meninjau proses pemberian vaksin kepada pengamal media yang menjadi ahli KEMUDI di negeri ini.
Sehubungan itu beliau berharap semua warga media terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan dengan memakai pelitup muka selain memastikan penjarakan fizikal serta menggunakan cecair sanitasi.
Katanya, KEMUDI mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kerajaan Negeri Kelantan dan Jabatan Kesihatan Negeri di atas program pemberian suntikan kepada warga media hari ini.
Sementara itu, jurugambar BERNAMA, Zulkarnain Kamaruddin, 48, dia teruja dapat menerima suntikan vaksin menerusi temu janji hari ini.
Katanya, sebagai pengamal media yang mungkin terdedah dengan Covid 19, memerlukan suntikan vaksin seperti barisan hadapan lainnya kerana kerjaya mereka memerlukan pergerakan dan bertemu kelompok masyarakat.
Bagi Ang Wui Chong dari Sin Chew Jit Poh berkata, tidak sakit apabila menerima suntikan vaksin Covid 19.
“Saya sudah mendaftar awal sebaik pendaftaran dibuka untuk mereka berumur 18 tahun keatas bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid 19.
“Tidak sangka suntikan vaksin ambil masa yang cepat selain proses yang mudah dan cepat,” katanya. – JOURNAL MALAYSIA