PUTRAJAYA | Kerajaan mengumumkan keputusan untuk melanjutkan tempoh sekatan bagi kemasukan pengembara ke Wilayah Persekutuan (WP) Labuan bermula hari ini sehingga 30 Jun depan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri berkata, lanjutan sekatan berkenaan dilakukan setelah mengambil kira situasi Covid-19 ketika ini.
“Kerajaan turut bersetuju untuk melanjutkan tempoh sekatan tambahan bagi kemasukan pengembara ke WP Labuan bermula 10 Jun sehingga 30 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 25 Mei lalu Ismail Sabri mengumumkan sekatan terhadap pegembara ke WP Labuan telah berkuatkuasa bermula 27 Mei sehingga 9 Jun lalu.
Berdasarkan kenyataan lalu, pengembara wajib menjalani ujian RT PCR COVID-19 tiga hari sebelum memasuki WP Labuan dan menjalani kuarantin 10 hari di rumah bagi penduduk asal Labuan.
Selain itu, kuarantin 10 hari di rumah atau hotel bagi penjawat awam manakala kuarantin 14 hari di hotel bagi pelawat asing dari luar negara.
“Pengguna Kad Harian Transporter pula diwajibkan mengambil ujian PCR setiap dua minggu dan wajib menjalani ujian RTK antigen setiap minggu.
“Sign off dibenarkan dengan 14 hari kuarantin dan wajib menjalani satu ujian RT PCR,” katanya.
Untuk rekod hari ini, jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan di WP Labuan adalah 106 kes dengan empat kematian.
–