PUTRAJAYA | Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan bekalan minyak masak bersubsidi mencukupi untuk 32.7 juta rakyat Malaysia.
Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pengeluaran 60,000 metrik tan (mt) itu sudah dibuat pengiraan, dan mencukupi dengan kadar penggunaan 1.7kg seorang, setiap bulan.
Katanya, susulan kenaikan harga minyak sawit mentah di pasaran dunia yang sudah mencecah lebih RM4,500 mt kerajaan mengeluarkan dana yang lebih untuk menampung program subsidi Skim Penstabilan harga Minyak Masak (COSS).
“Bagi tahun 2021 sebanyak RM600 juta diperuntukkan dengan kelulusan khas berbelanja RM200 juta berbanding peruntukan asal sebanyak RM400 juta.
“Meskipun kos bertambah, program ini masih diteruskan sehingga sekarang. Tidak dinafikan, dalam proses agihan itu berlaku isu terpencil seperti masalah pekerja, pengilang dan kelewatan penghantaran bekalan daripada pengilang ke premis jualan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, KPDNHEP sering melakukan pemeriksaan harian ke atas empat unit simpanan stok (SKU), malah sejak Januari hingga Mei lalu, sebanyak 38 aduan diterima membabitkan ketidakpuasan hati pengguna terhadap harga minyak masak botol lima kg yang didakwa mahal.
Katanya, kedudukan bekalan minyak masak dipantau berdasarkan pemantauan bekalan ke atas sejumlah 2,711 peruncit terpilih daerah (DDR) dilaksanakan di seluruh negara.
“DDR adalah mekanisme untuk menentukan kedudukan bekalan barangan berjadual di peringkat peruncit terpilih di sesuatu kawasan.
“Selain itu, KPDNHEP juga memperincikan tindakan pemantauan bekalan ke atas sejumlah 1,039 pemborong terpilih daerah (DDW) di seluruh negara. Pemantauan DDW adalah sebagai satu mekanisme untuk menentukan penanda aras kedudukan stok bekalan barangan berjadual di peringkat pemborong di sesuatu kawasan,” katanya.