LONDON | Pemain-pemain England akan berkongsi bonus sehingga 12 juta pound (RM70 juta) sekiranya memenangi Kejuaraan Eropah, tetapi hanya akan menerima imbuhan itu menjelang musim luruh.
Mengikut syarat ditetapkan Bank England ketika memberikan pinjaman 175 juta pound (RM1.02 bilion) bagi membantu mereka menangani impak pandemik COVID-19, Persatuan Bolasepak (FA) Inggeris dilarang membayar sebarang bonus atau dividen sehingga hutang selesai, paling awal September ini.
Arsenal memilih untuk membayar pinjaman mereka awal bulan lalu bagi memberikan ruang buat mereka berbelanja di pasaran perpindahan.
Namun FA tidak mempunyai perancangan untuk mengubah syarat pinjaman mereka, yang diperoleh menerusi Kemudahan Kewangan Korporat COVID Kerajaan (CCFF).
Jumlah bonus itu adalah yang terbesar pernah ditawarkan kepada pemain-pemain England di kejohanan besar berikutan peningkatan jumlah hadiah keseluruhan oleh Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA).
Memetik Berita Harian, hadiah wang tunai akan meningkat bergantung kepada kemaraan setiap pasukan. Juara akan menerima maksimum 30 juta pound (RM175.1 juta) jika mereka menang kesemua perlawanan peringkat kumpulan.
Kesemua 24 pasukan sudah menerima 8.5 juta pound (RM49.6 juta) daripada UEFA kerana layak ke pusingan akhir dengan bayaran tambahan bergantung kepada persembahan setiap pasukan. – AGENSI