ARAU | Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) membuat laporan polis berikutan penularan satu surat hebahan palsu yang menggunakan nama jabatan tersebut.
JAIPs dalam kenyataan berkata, laporan polis itu dibuat semalam selepas menerima aduan awam konon pihaknya menganjurkan suatu program Kem Bestari Solat di Surau Ihya Al Iman, Kampung Alor Setar, Pauh, Arau, Perlis pada 11-13 Jun 2021.
Katanya, berikutan surat palsu yang tersebar itu telah menjejaskan nama baik dan reputasi JAIPs.
“Sebagai menjunjung titah Yang DiPertua MAIPs Tuanku Syed Faizuddin Putra Syed Sirajuddin Jamalullail yang menetapkan semua surau di Negeri Perlis hendaklah kekal ditutup, serta mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diisytiharkan oleh Kerajaan Malaysia.
“JAIPs sememangnya tidak pernah dan tidak akan sama sekali terlibat dalam program yang ditularkan oleh surat palsu tersebut,” katanya kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, bukan sahaja boleh mencemarkan nama baik Unit KAFA Bahagian Pendidikan JAIPs serta mengelirukan masyarakat, bahkan boleh mengundang sangkaan buruk kepada MAIPs, JAKIM dan Mantan Timbalan Mufti Negeri Perlis.
“Sehubungan dengan itu, JAIPs menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya, bagi membawa mereka yang bertanggungjawab di sebalik jenayah ini, ke muka pengadilan,” katanya.