KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 60 kluster perayaan sehingga kelmarin.
Kluster berkenaan membabitkan 58 kluster yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri dan dua kluster Hari Gawai.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster ini, di mana terdapat 3,511 kes COVID-19 telah dikenalpasti.
“Ia menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus. Daripada jumlah 3,511 kes, 20 kematian telah dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan kluster (13.3 peratus), serta Kedah tujuh kluster (11.7 peratus),” katanya menerusi laman Facebooknya.
Beliau berkata, situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan.
Katanya, lebih merisaukan kerana ia berlaku dalam tempoh masa yang singkat dan perayaan ini berlaku dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)
“Ianya melambangkan sikap tidak acuh masyarakat. Sekiranya terus leka dan tidak mengambil iktibar serta pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan baru-baru ini, tidak mustahil kes akan meningkat secara mendadak dan berulang lagi di negara kita.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini.
“Kita wajar mencontohi negara jiran yang berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19 dengan baik di negara mereka. Mereka telah membuktikan bahawa dengan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau berkata, rakyat Malaysia digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar.
Katanya, daftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok (herd immunity) dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.-JOURNAL MALAYSIA