KOTA BHARU | Dua daerah di Kelantan iaitu Pasir Mas dan Tumpat mengalami masalah gangguan bekalan air hari ini.
Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam satu kenyataan berkata, hal itu berlaku kerana Loji Rawatan Air (LRA) Kelar, Pasir Mas mengalami kerosakan.
Katanya, salah satu pam air mentah telah mengalami kerosakan dan kerja penggantian pam sedang dilaksanakan.
“Kerja-kerja tersebut dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh 24 jam.
“AKSB telah menggerakkan lori-lori tangki ke kawasan penduduk terjejas dan mohon maaf atas kesulitan yang berlaku,” katanya.
AKSB turut menasihatkan pengguna agar menyimpan serta menjimatkan air untuk kegunaan kecemasan sahaja.
Pengguna boleh menghubungi Pusat Informasi dan talian aduan (PINTAS) di talian 15777 atau muat turun aplikasi MyAKSB untuk matlumat lanjut.