KUALA LUMPUR | Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof disahkan positif Covid-19 selepas menerima keputusan ujian saringan awal malam tadi.
Kementerian Kerja Raya dalam satu kenyataan berkata, Fadillah menjalani ujian saringan Covid-19 pada 10.15 pagi semalam.
Katanya, ujian itu adalah satu rutin yang dibuat oleh Pejabat Menteri Kanan Kerja Raya dari semasa ke semasa.
“Sebelum ini beliau sentiasa menjalani ujian saringan dari semasa ke semasa dan keputusan adalah negatif termasuk terkini pada 3 Jun 2021.
“(Datuk Seri) Fadillah kini berada dalam keadaan stabil dan memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul,” kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut, Fadillah berdoa agar Allah SWT mempermudah urusan semua yang terlibat.
“Beliau (Fadillah) akan menjalani kuarantin di rumah disebabkan tiada sebarang gejala seperti nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Sepanjang tempoh kuarantin, beliau akan terus memantau dan memastikan urusan kementerian berjalan dengan lancar,” katanya.