KUALA LUMPUR | Aksi menentang Vietnam, tengah malam ini dirumuskan sebagai misi ‘hidup mati’ buat skuad Harimau Malaya kerana bukan hanya tiga mata menjadi rebutan tetapi ia turut mempertaruhkan nasib skuad Harimau Malaya pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.
Malah, aksi menentang pasukan ranking ke-92 dunia yang juga pendahulu Kumpulan G itu disifatkan peluang terakhir buat anak buah Tan Cheng Hoe untuk terus ‘bernyawa’ dalam misi mengintai tempat ke pusingan seterusnya, sekali gus mereka tiada jalan lain kecuali membenam skuad yang digelar ‘Naga Emas’ itu.
Justeru, situasi berkenaan pasti menghadirkan tekanan yang terlampau tinggi buat skuad bimbingan Tan Cheng Hoe menjelang pertemuan itu dengan Cheng Hoe turut mengakui ia aksi terbesar dalam kariernya sebagai pengendali skuad kebangsaan.
Namun, Cheng Hoe tampak enggan memberi tekanan tambahan kepada anak buahnya apabila menyifatkan perlawanan itu bukanlah penentu hidup mati untuk skuad kebangsaan dan menegaskan pemainnya tetap tahu betapa pentingnya aksi bertemu pasukan yang digelar Naga Emas itu.
“Setiap perlawanan sangat penting, apatah lagi kita gagal meraih keputusan positif ke atas Vietnam sebelum ini. Saya tak pernah katakan perlawanan ini adalah misi hidup atau mati kerana saya tahu pemain tetap bermotivasi tinggi.
“Mereka juga faham mengenai situasi di mana kita perlukan keputusan yang positif menentang pasukan yang sedang berada dalam prestasi terbaik. Saya tahu semua pemain ada impian untuk lakukan yang terbaik pada kempen Piala Dunia kali ini,” katanya.
Pada masa sama, Cheng Hoe tidak melihat ketiadaan tiga tonggak lawan yang berdepan penggantungan dan kecederaan akan melemahkan pasukan lawan sekali gus memberi kelebihan kepada skuad negara.
“Kita sentiasa yakin dengan kemampuan pemain dan kita tahu Vietnam mungkin kehilangan dua atau tiga pemain tetapi itu bukanlah kelemahan mereka. Mereka ada barisan kedua atau ketiga yang boleh mengisi kekosongan itu.
“Kita akan bermain dengan kekuatan yang kita ada dan cuba kekalkan momentum yang kita dapat selepas menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kita yakin untuk mendapatkan keputusan positif,” katanya.
Sebagai rekod, Vietnam kehilangan khidmat Nguyen Quang Hai yang digantung satu perlawanan dan dijangka tidak dapat menurunkan pemain tengah, Nguyen Tuan Anh dan penyerang, Van Toan susulan kecederaan.
Berdasarkan rekod pertemuan, kali terakhir skuad negara membenam Vietnam 4-2 di Piala AFF pada 11 Disember 2014 dengan lima aksi selepas itu menyaksikan skuad negara tumbang empat kali dan seri sekali.
Menariknya, Cheng Hoe tak pernah menang ke atas lawan itu dalam empat pertemuan dan inilah detik terbaik menebusnya.-BERITA HARIAN.