BY ISMAIL MUHAMAD
TUMPAT | Lebih 2,300 penduduk dari Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil di sini menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula hari ini hingga 24 Jun ini.
Daripada jumlah itu, seramai 1,357 penduduk membabitkan 270 keluarga di Kampung Ketil manakala seramai 990 orang dengan 459 keluarga di Kampung Kutan Tengah.
Dengan pelaksanaan PKPD, penduduk dari kedua-dua kampung terbabit membuat persiapan awal termasuk menyediakan bekalan barangan keperluan harian selama dua minggu.
Bagaimanapun terdapat juga penduduk yang masih terkejut dengan pelaksanaan PKPD belum sempat membuat persiapan dan mengharapkan bekalan makanan sedia ada di rumah mereka.
Tinjauan Journal Malaysia mendapati jalan utama ke Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil di sini, sunyi kerana laluan itu ditutup dan hanya kenderaan pihak berkuasa dan agensi berkaitan sahaja dibenarkan masuk atau keluar.
Segelintir orang ramai yang cuba memasuki laluan ke kedua-dua kampung itu terpaksa berpatah balik dan menggunakan laluan lainnya berikutan penutupan jalan berkenaan.
Jalan utama menuju ke Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil dikawal oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Malah notis pemberitahuan penutupan jalan utama ke Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil turut diletakkan di hadapan khemah kawalan anggota bertugas bagi memaklumkan kepada orang ramai mengenai pelaksanaan PKPD di kedua-dua perkampungan itu.
Penduduk Kampung Kutan Tengah, Borhan Yusoff, 52, dia akur dengan pelaksanaan PKPD membabitkan penempatan kampungnya bermula hari ini sehingga 24 Jun ini.
Dia yang tinggal bersama ibunya, Munah Zakaria, 71, berkata, walaupun sudah maklum dengan pelaksanaan PKPD tetapi dia belum sempat membuat persediaan awal termasuk menambah stok bekalan makanan untuk keperluan hariannya.
“Pelaksanaan PKPD tentunya memberi sedikit sebanyak kesan kepada kami penduduk terutama mereka yang tidak sempat melakukan persiapan awal termasuk membeli barangan keperluan harian kerana kekangan tertentu.
“Stok bekalan makanan yang ada hanya cukup untuk tempoh tiga atau lima hari dan saya harap ada kelonggaran untuk penduduk keluar membeli barangan keperluan harian sepanjang tempoh PKPD ini, ” katanya ketika dihubungi hari ini.
Seorang penduduk dari Pasir Pekan, Rahim Abdullah, 54, berkata, dia selalu menggunakan jalan utama ke Kampung Kutan Tengah tetapi hari ini laluan itu ditutup kepada orang awam kerana PKPD di kampung berkenaan.
“Sebagai pengguna, kita akur dengan arahan pihak berkuasa demi keselamatan dan kebaikan kita semua terutama dalam mengawal penularan Covid 19.
“Oleh kerana pelaksanaan PKPD sudah dimaklumkan dua hari lebih awal, jadi mudah bagi kita sebagai pengguna jalan raya merancang perjalanan dan pergerakan menggunakan laluan alternatif,” katanya. – JOURNAL MALAYSIA