PUTRAJAYA | Kampus Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula 13 Jun ini.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini tekah melaporkan situasi semasa kes COVID-19 di kampus terbabit.
Menurutnya, dalam tempoh seminggu, KKM mendapati berlaku peningkatan kes apabila sebanyak 18 kes positif dilaporkan hasil saringan ke atas 208 penghuni universiti tersebut.
“KKM juga mendapati, berlaku penularan kes dalam kalangan pelajar dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, Kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampus UUM, Sintok, Kedah berkuat kuasa 13 Jun sehingga 26 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, pelaksanaan PKPD adalah untuk menyekat pergerakan keluar masuk bagi memastikan tiada penyebaran jangkitan keluar ke kampus serta memudahkan KKM membuat pemantauan ke atas pelajar sedang menjalani kuarantin.