RANTAU PANJANG | Beberapa hari lepas pihak Balai Polis Rantau Panjang menjalankan operasi memotong tali yang digunakan untuk membawa “barang” menyeberangi sempadan negara di Sungai Golok
Polis Daerah Pasir Mas menerusi Facebooknya memaklumkan, tali itu muncul semula semalam.
Katanya, pihak balai sekali lagi membuat pemantauan dan mendapati beberapa tali baru telah dipasang semula.
“Pihak Polis ingin menegaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab ini boleh menjejaskan tahap keselamatan negara.
“Kaedah penggunaan tali untuk mengangkut barang dari negara jiran Thailand ke Malaysia adalah salah.
“Apa juga kemungkinan boleh berlaku dan mungkin penghantaran dadah boleh dilakukan atau lebih menggerikan penyeludupan senjata api dilaksanakan menggunakan kaedah itu,” katanya.
Pihak polis memberi amaran keras dan terakhir kepada warga Rantau Panjang.
Katanya, tindakan keras akan di ambil sekiranya tertangkap ketika sedang menjalankan aktiviti penyeludupan ini dan tolong hentikan kerana ia membahayakan keadaan keselamatan negara.