KUALA LUMPUR | Data klinikal menunjukkan majoriti pesakit COVID-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, namun, terdapat segelintir yang terkesan dengan Sindrom Post COVID atau keadaan di mana bekas pesakit masih menunjukkan gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih.
Katanya, kajian klinikal yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan 1,004 pesakit dari kategori empat dan lima yang menerima rawatan susulan, didapati 66 peratus daripadanya mengalami Sindrom Post COVID.
“Antara lima simptom yang kerap dialami oleh bekas pesakit COVID-19 adalah kelesuan , kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.
“Rawatan yang ditawarkan adalah berdasarkan simptom dan fungsi tubuh pesakit.
“Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang optimum. Kajian klinikal akan terus dijalankan bagi memahami dan mengenal pasti kesan Sindrom Post COVID dan ia akan dimaklumkan kepada masyarakat dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, pesakit COVID-19 yang di discaj dari hospital akan diberi temu janji rawatan susulan dan mereka diingatkan untuk hadir mengikut tarikh yang ditetapkan.
Katanya, bekas pesakit COVID-19 yang masih mempunyai gejala, dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat perubatan dan rawatan di klinik atau hospital berhampiran.
“Ia penting bagi mengekalkan tahap kesihatan bekas pesakit COVID-19 pada tahap terbaik dan mengurangkan sebarang komplikasi jangka panjang.
“Oleh itu, amat penting untuk menjaga diri dan ahli keluarga supaya kekal terlindung dan mendaftar untuk mendapatkan vaksin agar dapat mengurangkan risiko dijangkiti penyakit COVID-19 yang serius.
“Ini kerana kesannya boleh berpanjangan dan mengurangkan kualiti hidup serta produktiviti seseorang,” katanya.
Beliau berkata, golongan muda adalah kumpulan utama warga kerja bagi pelbagai sektor di negara kita dan mereka yang sihat adalah kunci kepada produktiviti negara.
Oleh itu, KKM ingin menasihati orang ramai termasuk individu yang telah menerima vaksin COVID-19 agar terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan.