NEW YORK | Syarikat pemprosesan daging terbesar dunia, JBS SA (JBS), mengaku membayar kira-kira AS$11 juta (RM45.29 juta) kepada kumpulan penggodam yang menceroboh sistem komputernya bulan lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif JBS, Andre Nogueira, berkata syarikat berpusat di Brazil itu menjadi mangsa serangan siber pada 31 Mei lalu dan cawangannya di Amerika Syarikat (AS) mengesahkan sudah membayar wang tebusan itu.
“Ini adalah keputusan yang paling sukar buat syarikat dan juga kepada saya secara peribadi.
“Bagaimanapun, keputusan ini terpaksa dibuat bagi mengelakkan sebarang risiko kepada pelanggan,” katanya.JBS berkata, sebahagian besar kemudahannya beroperasi ketika pembayaran tebusan dilakukan, namun memutuskan untuk membayar bagi mengelakkan perkara tidak diingini dan memastikan tiada data diceroboh.
FBI mengaitkan serangan itu kepada REvil, kumpulan penggodam bertutur bahasa Russia yang sudah membuat beberapa tuntutan peras ugut terbesar dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini.FBI berkata, pihaknya akan berusaha membawa kumpulan itu ke muka pengadilan dan menggesa sesiapa saja yang menjadi mangsa serangan siber untuk segera menghubungi biro terbabit.
Serangan itu menyasarkan pelayan yang menyokong operasi JBS di Amerika Utara dan Australia, menyebabkan operasi pengeluaran terganggu selama beberapa hari.
JBS berkata ia membelanjakan lebih AS$200 juta (RM823.50 juta) setiap tahun untuk sistem teknologi maklumat (IT) dan menggunakan khidmat lebih 850 profesional IT di seluruh dunia.
Syarikat itu berkata, penyiasatan forensik masih dijalankan tetapi menegaskan tiada data syarikat, pelanggan atau pekerjanya diceroboh. -AGENSI