PUTRAJAYA | Badan Kehakiman Negara telah mengambil inisiatif untuk meneliti dan mengkaji Arahan Amalan dan Pekeliling yang berkaitan.
Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Istana Kehakiman Putrajaya dalam kenyataan berkata ianya bagi tujuan menambah baik tatacara dan amalan sedia ada mengenai permohonan perintah tahanan reman.
Kenyataan itu berkata, pihaknya diarahkan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk memaklumkan bahawa perintah tahanan reman adalah yang diperuntukkan di bawah Kanun Tatacara Jenayah dan undang-undang khusus lain yang berkaitan.
Katanya, terdapat juga Arahan Amalan Ketua Hakim Negara Bilangan 3 Tahun 2003 dan Pekeliling Ketua Pendaftar Bilangan 2 Tahun 2012 yang menetapkan tatacara permohonan perintah tahanan reman di bawah seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi merujuk kepada laporan media bertarikh 10 Jun yang bertajuk “Deaths in custody: 10 suggestions for CJ to improve remand process”.