KUALA LUMPUR | Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengiktiraf keberkesanan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh bagi mengawal jangkitan Covid-19 dalam negara.
Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, selain itu pewartaan beberapa ordinan darurat seperti Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 serta Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021 bagi melindungi rakyat dalam tempoh yang genting ini turut diiktiraf.
“Langkah-langkah tersebut telah terbukti mampu mengawal jangkitan COVID-19 dalam negara daripada 9,020 kes pada 29 Mei 2021 kepada sekitar 6,000 kes harian ketika ini dan berjaya mengelakkan peningkatan kes jangkitan harian yang tinggi secara eksponen diluar jangkaan.
“BERSATU merakamkan ucapan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas keprihatinan serta keyakinan Baginda terhadap langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam mentadbir negara, terutamanya dalam menangani penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU yang dilaksanakan melalui sidang video.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Presiden BERSATU, yang juga Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menerusi mesyuarat itu juga, BERSATU menerusi MPT bersetuju sebulat suara untuk meluluskan beberapa pindaan terhadap Peraturan Persidangan parti itu, Peraturan Sayap ARMADA, Peraturan Sayap SRIKANDI dan Peraturan Sayap Bersekutu selaras dengan pindaan Perlembagaan Parti BERSATU yang telah diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).
“BERSATU yakin dan percaya bahawa pindaan-pindaan tersebut mampu memperkasakan gerak kerja parti, melicinkan urusan pentadbiran parti dan mengukuhkan akar umbi BERSATU disetiap peringkat di seluruh negara,” katanya.