KOTA BHARU | Majlis Gerakan Negara (Mageran) tidak perlu diwujudkan semula, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful berkata, buat masa ini keadaan kerajaan sedang berfungsi dengan optimum, dan baginya Mageran tidak diperlukan.
“Kerajaan berfungsi dengan baik. Bilangan kes baru sedang dikawal. Kadar vaksinasi kita pula kini antara yang tertinggi di Asia.
“Pelabur pun sudah mula kembali. Dan bantuan sampai ke tangan hampir semua yang memerlukan.
“Saya berpegang bahawa tanggungjawab kita sekarang ialah membantu menjadi penyelesai masalah. Kita semua mesti memainkan peranan masing-masing. Bukan merungut tidak berkesudahan atau berterusan mencari salah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut berkait cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad itu, Wan Saiful berkata, dari segi logik kuasa, sebenarnya cadangan ini pasti memudahkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir kerana ia akan membolehkan kuasa dipusatkan lebih kuat lagi.
“Tetapi cadangan yang autoritarian ini tidak diambil kerana Tan Sri Muhyiddin mahu mengekalkan ciri kerajaan “civilian”. Tan Sri Muhyiddin bukan seorang yang autoritarian,” katanya.
Tambahnya, Mageran pernah diwujudkan untuk menggantikan kabinet selepas PRU 1969 yang mana kuasa pentadbiran dipusatkan di bawah Mageran.
“Tetapi sekarang Perikatan Nasional kekalkan kabinet penuh yang menjalankan fungsi-fungsi seperti biasa. Kerana darurat kita kini ialah darurat kesihatan, bukan darurat keselamatan. Jadi kabinet dan fungsinya boleh dikekalkan,” katanya.
Selain itu, katanya juga Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang aktif menguruskan pandemik dengan terdapatnya dua jenis sidang MKN.
“Pertama ialah Sidang Khas MKN Mengenai Pengurusan COVID-19 yang bersidang minima dua kali seminggu. Dan kedua Sidang Khas MKN Mengenai Darurat yang bersidang minima sekali setiap seminggu.
“Dengan minima tiga sidang MKN, ditambah lagi Mesyuarat Kabinet setiap minggu, ada empat mesyuarat khusus yang menangani ehwal semasa. Itu belum lagi jawatankuasa-jawatankuasa teknikal yang berbentuk operasional.
“Semua isu pengurusan pandemik seperti keputusan berkaitan kesihatan awam, kuarantin, saringan rakyat, saringan pekerja asing, rawatan, vaksinasi, SOP, dan lain-lain, dibincangkan dalam mesyuarat-mesyuarat yang berkaitan. Keputusannya pula dilaksanakan oleh Kementerian-Kementerian yang bertanggungjawab,” katanya.
Maksudnya kata beliau, semua kementerian dan jentera kerajaan sentiasa berfungsi secara optimum dan semua keputusan adalah berdasarkan data dan fakta terperinci.
“Kaedah ini membolehkan keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi rakyat dibincangkan dengan kerap dan keputusan dibuat lebih tepat pada masanya.
“Adakah keputusan akan berubah-ubah? Ya sudah pasti. Dan kita memang harapkan ia berubah, terutama ke arah yang mengembalikan norma hidup rakyat, sebab data terkini berubah setiap masa. Situasi yang dinamik memerlukan pengurusan yang dinamik seperti yang dilakukan oleh kerajaan kini.
“Adakah keputusan akan sentiasa betul? Pasti tidak semuanya. Tapi kerja secara konsensus berpasukan ini membawa kemungkinan lebih besar kita akan sentiasa buat keputusan yang terbaik untuk sesuatu waktu itu, berdasarkan data yang ada pada masa itu, dan juga memudahkan pembetulan dibuat jika tersalah,” katanya.