PUTRAJAYA | Isu Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak seharusnya timbul sekiranya Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa diangkat.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham.
Katanya, Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah atas asas tanggungjawab utama dan khusus Kerajaan dalam menangani wabak COVID-19.
“Pejabat ini merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang dilaporkan oleh media sebagai berkata bahawa sekiranya Proklamasi Darurat yang kini berkuatkuasa diangkat, maka tiada apa-apa yang dapat menghalang sebarang PRU dan PRN yang sebelum ini tertangguh daripada diadakan.
“Beliau turut dilaporkan berkata bahawa kini hanya YDPA yang mempunyai budi bicara sama ada keadaan Darurat yang dijadualkan akan berakhir pada 1 Ogos 2021 perlu diteruskan atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.
Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, YDPA bertindak atas nasihat Jemaah Menteri selaras peruntukkan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, ia dibuat selaras dengan tanggungjawab serta teras dasar Kerajaan untuk terus memfokuskan kepada tindakan yang khusus dan tepat bagi mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan virus COVID-19.
“Menjadi tanggungjawab Jemaah Menteri untuk terus menasihati YDPA selaku Ketua Utama Negara dalam membuat sesuatu keputusan mengenai kedudukan tempoh Darurat.
“Ia setelah mengambil kira semua keadaan semasa serta faktor-faktor berkaitan termasuk keselamatan orang ramai, aspek sosial dan ekonomi negara,” katanya.
Ujarnya, Kerajaan memberi jaminan bahawa kesemua mekanisma yang wujud di dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang negara akan diikuti di dalam membuat apa-apa keputusan mengenai darurat.