PUTRAJAYA | Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) melahirkan rasa bangga dengan pencapaian dengan dua pelajar Orang Asli yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata Juniza Ellyana Teo Sea Huang dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin, dan Rozainizam Azizian dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Muadzam Shah, Pahang.
“Selain itu, terdapat seramai 90 pelajar Orang Asli lain telah mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM ini iaitu seramai lapan orang mencatat keputusan 8A dan 10 orang keputusan 7A.
“Seramai lapan pelajar mencatat keputusan 6A, 31 orang dengan keputusan 5A serta 34 orang mendapat keputusan 4A menjadikan jumlah keseluruhan murid Orang Asli cemerlang peperiksaan SPM tahun 2020 adalah seramai 93 orang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Abdul Rahman berkata, keputusan ini membanggakan KPLB selaku kementerian yang bertanggungjawab dalam Pembangunan Modal Insan masyarakat Orang Asli melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Katanya, umum mengetahui bahawa peperiksaan SPM tahun 2020 telah diadakan dalam norma baharu apabila negara telah dilanda dengan penularan pandemik Covid-19.
“Penularan pandemik ini telah menjejaskan persiapan murid untuk menghadapi peperiksaan SPM tahun 2020. Namun, kita tetap berbangga dengan pencapaian cemerlang yang telah ditunjukkan oleh murid Orang Asli tersebut.
“Kejayaan murid Orang Asli ini merupakan hasil kerja keras daripada semua pihak. Selain daripada usaha pelajar berkenaan untuk berjaya, ucapan tahniah juga patut diberikan kepada ibu bapa, guru-guru serta JAKOA yang turut bersama-sama berganding bahu dengan menyediakan pelbagai jenis bantuan serta program kecemerlangan pendidikan yang dapat mendorong mereka untuk bersaing dengan masyarakat lain,” katanya.
Beliau berkata, KPLB telah menyediakan peruntukan untuk bantuan pendidikan murid Orang Asli ini melalui bantuan wang saku, pengangkutan, peralatan sekolah, pakaian sekolah serta bantuan-bantuan lain dengan harapan mereka lebih bersemangat untuk mengubah nasib mereka melalui pendidikan.
“Dikesempatan ini, KPLB mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah menjalin kerjasama erat dalam menentukan halatuju pendidikan masyarakat Orang Asli di seluruh negara,” katanya.