KUALA LUMPUR | Kerajaan akan terus membantu rakyat melalui pelbagai langkah termasuk bakal menampung subsidi minyak dan minyak masak sebanyak RM8 bilion.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebanyak RM3.78 bilion yang diperuntukkan bagi tahun ini.
Katanya, tetapi berdasarkan harga pasaran global semasa, kerajaan bakal menampung subsidi sehingga RM8 bilion iaitu RM4.22 bilion lebih tinggi dari yang diperuntukkan.
“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM6.32 bilion bagi subsidi minyak dan minyak masak pada 2019 dan RM2.16 bilion pada 2020.
“Kerajaan bersedia menampung jumlah sudsidi yang lebih tinggi bagi memelihara kesejahteraan rakyat dan kelangsungan pernigaan terutama peniaga-peniaga kecil,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan tetap meneruskan dasar pengekalan harga bagi barang-barang runcit iaitu RM2.05 per liter bagi Petrol RON95 yang dikekalkan sejak 10 Februari dan RM2.15 per liter bagi Diesel sejak 10 Februari.
Katanya, selain itu pengekalan harga gas petroleum cecair (LPG) RM1.90 per kilogram sejak Jun 2105 dan minyak masak bersudsidi RM2.50 bagi pek satu kilogram sejak 1997.
“Pelbagai langkah Belanjawan dan inisiatif yang ditambah baik melalui PERMAI, PEMERKASA dan PEMERKASA+ akan terus disalurkan sekurang-kurangnya sehingga Disember tahun ini,” katanya.