KOTA BHARU | Melihat ramai penduduk masih tidak menerima suntikan terutama warga emas, UMNO Bahagian Ketereh mengambil inisiatif sendiri menyediakan pendaftaran vaksin bagi membantu mereka terhimpit berdepan Covid-19.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Saifuddin Mohamad, berkata pihaknya menyasarkan seramai 20,000 penduduk Parlimen itu akan berdaftar sama ada melalui borang bertulis atau dalam talian yang sudah disediakan.
Katanya yang juga Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Kelantan, ramai penduduk terutama berusia 70 tahun ke atas masih tidak menerima suntikan walaupun sudah berdaftar melalui MySejahtera oleh anak mereka.
Berikutan itu, menurutnya, atas inisiatif Ketua UMNO Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa menggerakan Pemuda, Puteri dan Wanita UMNO untuk membantu penduduk berdaftar supaya suntikan vaksin dapat disegerakan.
“Kita mengadakan sendiri program pendaftaran vaksin, antaranya rumah ke rumah terutama kawasan kampung. Kita akan ke rumah memberi borang pada waktu pagi untuk diisi, sebelum kembali kutip pada waktu petang.
“Program ini kita sudah mula jalankan sejak semalam, dan hasilnya sebanyak 700 borang diterima. Borang ini akan diserahkan Tan Sri Annuar Musa untuk tindakan selanjutnya termasuk berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Selain rumah ke rumah, kita juga akan membuka pendaftaran di Pasar Melor, Pasar Kok Lanas, Pasar Ketereh dan Pasar Peringat pada setiap Selasa dan Sabtu bagi memberi peluang kepada penduduk yang kebetulan membeli belah,” katanya kepada Journal Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau ditemui pada program Mari Daftar Cocok Vaksin di Pasar Melor, di sini yang turut dihadiri Penolong Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Ketereh, Azhan Ishak.
Sementara itu, Azhan berkata, hasil daripada program itu, sebanyak 150 borang diterima yang dibuka sejak jam 10 pagi hingga 1 tengah hari.
“Melihat keadaan kes Covid-19 ketika ini, kita rasa terpanggil membantu penduduk seramai mungkin untuk segera mendapatkan suntikan supaya mereka dapat dilindungi daripada wabak berkenaan.
“Kita tahu ramai yang mempunyai masalah internet, malah ada yang memakai telefon murah sekali gus menyukarkan mereka mendaftar vakksin termasuk MySejahtera.
“Malah, kita juga ada memberi sedikit penerangan mengenai vaksin memandangkan ada segelintir penduduk masih was-was untuk mendapatkan vaksin selepas terpengaruh dengan berita palsu di media sosial,” katanya.
Penduduk, Mohamad Ghazni Yusof, 62, berkata dia bersama isterinya berusia 64 tahun masih tidak menerima suntikan vaksin walaupun sudah berdaftar melalui MySejahtera.
“Usaha yang dilakukan UMNO Bahagian Ketereh ini adalah satu tindakan mulia memandangkan ramai warga emas masih tidak menerima vaksin. Kita harap dengan pendaftaran ini, suntikan vaksin dapat disegerakan kerana bimbang kes yang makin meningkat,” katanya.