Copenhagen: Penyokong yang berada di stadium lega apabila pemain kesayangan mereka, Christian Eriksen diumumkan berada dalam keadaan stabil selepas rebah ketika pertemuan antara Denmark dan Finland.
Kira-kira 16,000 penyokong di Stadium Parken menyaksikan detik cemas itu apabila pasukan perubatan melakukan bantuan pernafasan (CPR) ke atas pemain Denmark itu sebelum mengusungnya ke tepi padang.
“Saya dapat melihat dia diberikan rawatan. Setiap orang tidak sanggup menyaksikannya, begitu juga dengan saya,” kata seorang penyokong Denmark, Rasmus Ottosen.
“Eriksen umpama harta negara, dia seperti rakan baik anda.”
Dia serta penyokong lain bagaimanapun enggan berganjak ketika bintang Inter Milan itu diberi rawatan selama 10 minit di tepi padang selepas rebah ketika permainan memasuki minit ke-43.
Ketika pasukan perubatan bertungkus lumus menyelamatkannya, penyokong di stadium juga berasa sangat bimbang.
“Isteri saya beritahu daripada matanya seperti sudah meninggal dunia,” kata seorang penyokong, Benny.
Selepas diberi rawatan di tepi padang, Eriksen kemudian dikejarkan ke hospital terdekat.
“Ibu saya meninggal dunia lima tahun lalu dan saya tidak pernah menangis dengan kuat sepertimana ketika menyaksikan Eriksen meninggalkan padang,” kata seorang penyokong Finland, Mikka.