SHAH ALAM | Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) menawarkan khidmat guaman percuma kepada penghantar makanan Foodpanda yang bertindak di luar kawasan ekoran provokasi penghinaan agama Islam oleh seorang lelaki Kristian yang mendakwa dia anak Allah.
Ketua Pemuda DPPNS, Hanafi Zulkapli berkata, insiden yang tular itu menunjukkan secara jelas lelaki Kristian terbabit memprovok dan tidak menghormati agama Islam.
Katanya, ekoran tindakan lelaki tersebut yang mencemarkan nama suci Allah, berlakunya pergaduhan sebelum dileraikan oleh orang awam.
“DPPNS mengecam sikap provokasi kerana jelas ia tidak menghormati sensitiviti penganut Islam yang akhirnya membawa kepada pergaduhan kerana provokasi tersebut telah merosakkan keharmonian yang sewajarnya dipelihara dalam kehidupan masyarakat majmuk yang berbilang agama di Malaysia.
“Selangor merupakan salah satu antara 10 negeri yang mempunyai Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di kalangan Orang Islam) memperuntukkan dalam Jadual (Seksyen 9) perkataan-perkataan yang tidak boleh digunakan berkaitan dengan agama bukan Islam, antara lain, kalimah Allah, Baitullah, Kaabah, firman Allah, hadis, Illahi, wahyu, ibadah dan perkataan lain yang tersenarai dalam Bahagian I jadual terbabit,” katanya dalam satu kenyataan media.
Hanafi berkata, pujian diberikan terhadap semangat penghantar makanan Foodpanda tersebut.
Namun katanya, pihaknya berharap setiap tindakan mestilah mengikut lunas-lunas perundangan agar semua rakyat menghormati keluhuran Perlembagaan di negara ini dalam menjamin keadilan, keamanan dan kesejahteraan semua pihak.
“DPPNS dengan kerjasama Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Malaysia (LUHAM) tampil menawarkan khidmat guaman kepada mereka yang akan dituduh dalam kes ini bagi menyatakan kebersamaan dalam semangat mempertahankan kesucian agama dari sebarang provokasi yang sengaja ditimbulkan.
“Kami juga menggesa pihak berkuasa untuk membuka kertas siasatan ke atas individu beragama Kristian tersebut yang tular melalui video yang mengeluarkan kata-kata provokasi agama dan tidak menghormati ajaran Islam agar dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah menjadi penyebab kepada tercetusnya ketegangan dalam kehidupan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.