MADRID | Biarpun menjadi antara 10 negara tertinggi kes Covid-19, Sepanyol nekad mempamerkan aksi terbaik pada pembuka tirai kempen Euro 2020 menentang Sweden, awal pagi Selasa ini walaupun seminggu tidak menjalani latihan.
Kehadiran pemain pertahanan, Diego Llorente yang kembali bersama skuad selain kesemua pemain divaksin untuk mengatasi wabak Covid-19, bakal menjadi tonik terbaik menjelang perlawanan itu.
Bagaimanapun, beberapa pemain mungkin akan merasai kesan sampingan berikutan proses vaksinasi berlangsung pada hari pertama Euro 2020 dan tiga hari sebelum aksi pertama itu.
Lapor AFP, Luis Enrique dilantik sebagai pengendali pasukan bagi membawa perubahan selepas kempen Piala Dunia 2018 yang mana Sepanyol tewas di tangan Russia menerusi penentuan penalti, sekali gus gagal ke suku akhir buat kali ketiga berturut-turut dalam kejohanan utama.
Kesimpulan terhadap kegagalan di Moscow sangat jelas ketika itu, dengan sejarah pencapaian gemilang dilakar pada 2008 dan 2012 sudah tidak lagi boleh dibanggakan.
Malah, gaya permainan mereka juga dianggap sudah ketinggalan zaman biarpun suatu ketika pernah meletakkan Barcelona dan Sepanyol mendominasi saingan dunia.
Di La Cartuja, Seville, Selasa ini, hanya Jordi Alba pemain yang kekal daripada skuad menjuarai Euro sembilan tahun lalu dengan Sergio Ramos tidak disenaraikan, manakala Sergio Busquets sedang menjalani kuarantin selepas diuji positif Covid-19 minggu lalu.
Bagaimanapun, skuad ‘La Roja’ tidak perlu gentar apabila mereka memiliki barisan pemain muda yang dilabel sebagai bintang masa depan.
Sejak kempen Piala Dunia terakhir, seramai 61 pemain sudah bermain bersama skuad senior di bawah kendalian Enrique.
Bagaimanapun, timbul persoalan dalam kalangan pemerhati mengenai falsafah bola sepak Enrique yang dilihat tidak konsisten dan sukar untuk meramalkan siapa yang bakal diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi pembukaan Kumpulan E yang turut disertai Poland dan Slovakia.
Antara persoalan besar yang timbul mengenai posisi penjaga gol apabila Enrique enggan mengesahkan sama ada penjaga gawang Athletic Bilbao, Unai Simon akan bermain, berbanding David de Gea dan Robert Sanchez.