KUALA LUMPUR | Kerajaan mengiktiraf sepenuhnya kewujudan Jawatankuasa Khas Bebas yang diwujudkan di bawah seksyen 2, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan sentiasa mematuhi segala peruntukan undang-undang dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
Katanya, terutama sekali ketika membuat sebarang keputusan mengenai darurat termasuk mengiktiraf segala mekanisma yang wujud secara sah di sisi undang-undang.
“Kenyataan media saya semalam, berhubung peranan Kerajaan dari segi Perlembagaan dan undang-undang berkait dengan Perisytiharan Darurat dan hal-hal yang berkaitan dengannya di mana sebahagiannya kelihatan dipetik di luar konteks yang sebenarnya
“Kerajaan tidak pernah campur tangan dalam sebarang urusan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat sebaliknya memberikan sepenuh kerjasama supaya jawatankuasa ini dapat melaksanakan fungsinya.
“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam seksyen 2 iaitu “Maka hendaklah ditubuhkan suatu jawatankuasa khas bebas untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai kewujudan berterusan darurat besar yang mengancam keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam di dalam Persekutuan berikutan wabak penyakit berjangkit, iaitu Penyakit Koronavirus 2019 (COVID 19)”, katanya dalam satu kenyataan media.
Takiyuddin berkata, Kerajaan juga terus berperanan menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan semasa tempoh darurat berkuatkuasa sebagaimana diperuntukkan dalam seksyen 11, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.
“Justeru dalam keadaan negara kita masih lagi berperang dengan pandemik Covid-19 ini, sebaiknya semua pihak perlu akur kepada fungsi masing-masing yang ditetapkan di bawah kerangka perundangan sedia ada,” katanya.