KUALA LUMPUR | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 2,600 laman sesawang termasuk web gelap atau ‘Dark Web’ menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, laman sesawang itu dipantau, disiasat dan diambil tindakan.
Katanya, menerusi Operasi Pangea XIV dari 18 hingga 25 Mei lalu, sebanyak 972 bungkusan pos diperiksa dan daripada jumlah itu 157 bungkusan pos yang didapati mengandungi 9,115 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar dirampas.
“Nilai rampasan adalah sebanyak RM108,352 berbanding dengan Operasi Pangea tahun lalu, lebih 60 peratus produk yang dirampas pada tahun ini adalah ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952.
“18 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik, manakala selebihnya ubat darah tinggi, kencing manis, pil gugur, ubat anti inflammatory dan lain-lain yang kebanyakannya tidak berdaftar dengan KKM.
“Pemeriksaan turut dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri. Sebanyak 961 unit ubat-ubatan tidak berdaftar dirampas dengan nilai rampasan sebanyak RM42,213,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.
Menurutnya, 94 premis perniagaan menjual produk tidak berdaftar dan juga premis yang mengedarkan bahan psikotropik yang tidak berdaftar telah diserbu.
Katanya, dalam serbuan itu, 61,864 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang turut dirampas untuk tindakan lanjut dengan nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM2,071,855.
“Turut dirampas adalah beberapa peranti digital seperti komputer dan telefon bimbit yang digunakan sebagai medium untuk memasarkan produk.
“Kita juga mengadakan aktiviti kesedaran kepada orang awam mengenai potensi bahaya membeli ubat-ubatan secara dalam talian. Sebanyak 206 kempen kesedaran pengguna telah diadakan,” katanya.