GLASGOW | Perlawanan pertama Scotland dalam kejohanan utama selepas 23 tahun memberi badi buat lawan mereka, Republik Czech yang terpaksa menukar kem latihan pada saat akhir, selain bakal beraksi tanpa tonggak pertahanan, Ondrej Kudela.
Kudela digantung 10 perlawanan selepas didapati menyerang pemain tengah Rangers, Glen Kamara dengan unsur perkauman ketika Slavia Prague berkunjung ke Scotland untuk aksi pusingan 16 terbaik Liga Europa, pada Mac lalu.
Bagaimanapun, Kudela mendapat sokongan padu di tanah airnya apabila Slavia dan rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan menyokong pemain berusia 34 tahun itu.
“Saya sentiasa bersama Kudela dan percaya dia tidak mempunyai niat bercakap mengenai soal perkauman. Tiada bukti, tetapi ramai di sana (United Kingdom) mengutuknya sehingga dia menerima hukuman berat.
“Saya rasa ia tidak masuk akal. Saya sangat mengenalinya sehingga tidak dapat menggambarkan dia sanggup memperkatakan soal perkauman.
“Saya juga cuba meyakinkan rakan-rakan di bilik persalinan mengenainya,” kata Tomas Soucek yang beraksi bersama pasukan Liga Perdana, West Ham United musim ini.
Ketiadaan Kudela adalah satu tamparan buat Czech dalam misi memburu kemenangan sulung ke atas Scotland.
“Apabila bercakap mengenai Kudela, keseluruhan pasukan merasainya dan kami sememangnya mahu dia bersama pasukan,” katanya penolong pengurus Czech, Jiri Chytry minggu ini. – AFP