KOTA BHARU | Seorang peniaga kelapa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan mencabul dua lelaki termasuk seorang remaja, Mei lalu.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Khairul Azuar Muhammad, 33, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja lelaki berusia 16 tahun enam bulan di sebuah pondok di Tanah Perkuburan Nibong, Kampung Padang Kala, Melor jam 9.30 malam, pada 16 Mei 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.
Pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa dengan sengaja melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan luar tabii terhadap lelaki berusia 20 tahun tanpa kerelaannya di hutan Jalan Permatang Sungkai, di Pasir Puteh jam 8 pagi, pada 20 Mei 2021.
Kesalahan itu didakwa mengikut 377C Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 20 tahun dan juga sebatan.
Terdahulu, tertuduh memohon mahkamah untuk menghantarnya bagi mendapatkan rawatan khas di Tanjung Rambutan, Perak memandangkan dirinya mempunyai rekod sakit mental.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizuan Sulaiman tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh dan memohon laporan perubatan penuh serta psikiatri terhadap tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 masing-masing RM15,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.