KOTA BHARU | Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sementara dibuka di masjid, surau dan pondok untuk memudahkan penduduk kampung mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, PPV sementara di pusat ibadat akan memudahkan masyarakat setempat untuk datang mendapatkan suntikan vaksin memandangkan PPV komuniti berada agak jauh daripada rumah penduduk.
“Walaupun pemberian vaksin diadakan di masjid, surau atau pondok, namun ia tidak terhad kepada golongan muslim sahaja dan terbuka kepada masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan suntikan vaksin.
“Pihak kami juga mendapat sokongan daripada penggawa dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk bekerjasama bagi mengumpul nama individu yang sudah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan tinjauan di PPV Sementara Bagi Daerah Kota dan Kubang Kerian di Masjid Sultan Ismail Petra, di sini, hari ini.
Beliau berkata, sekiranya PPV yang dibuka di pusat ibadat itu mendapat sambutan, pihaknya akan melanjutkan tempoh masa.
“Kesedaran masyarakat Kelantan terhadap suntikan vaksin semakin baik, malah ada di antara ahli jawatankuasa masjid yang menawarkan untuk mengadakan Program Outreach Vaksinasi COVID-19 di masjid.
“Menerusi Program Outreach yang diadakan sebelum ini, ia mendapat sambutan apabila ramai datang untuk mendapatkan suntikan vaksin khususnya di Kelantan.
“Seramai 140,000 atau 11 peratus rakyat di Kelantan sudah menerima suntikan vaksin bagi dos pertama dan berharap bekalan vaksin mencukupi untuk diberikan kepada individu yang berdaftar,” katanya.