PUTRAJAYA | Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan 15 penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk menganjurkan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi, bermula esok.
Penyedia perkhidmatan telekomunikasi terbabit kempen itu ialah Altel, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, PAVOCOMMS, RedONE, RedTone, Time, TM, TuneTalk, U Mobile, Webe, XOX dan YES.
SKMM dalam satu kenyataan, kempem membabitkan penipuan melalui panggilan telefon dan khidmat Pesanan Ringkas (SMS), dilakukan untuk mendidik pengguna mengenal pasti kegiatan itu dan langkah yang boleh diambil dalam menghalang cubaan penipuan (scam) yang semakin berleluasa.
“Fokus kempen kesedaran terbabit akan tertumpu kepada tiga modus operandi Jenayah Telekomunikasi iaitu penipuan panggilan (Vishing), penipuan SMS (Smishing) dan penipuan kod transaksi pengesahan (TAC).
“Melalui kempen ini, hebahan berkaitan maklumat dan tip mengenal pasti aktiviti penipuan serta langkah boleh diambil untuk menanganinya, akan dikongsi secara menyeluruh dalam pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, laman sesawang, selain penggunaan hashtag,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan, sejumlah 1,290 kes penipuan dilaporkan kepada SKMM sepanjang tempoh 2020 hingga Mei lalu yang mana mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Tindakan penamatan nombor talian tetap atau mudah alih yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan pula dibuat mengikut Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurut SKMM, rekod PDRM menunjukkan sejumlah 5,725 kes penipuan panggilan dilaporkan kepada badan itu sepanjang tempoh 2019 membabitkan kerugian bernilai RM254.59 juta.
Jumlah itu meningkat, tahun lalu, apabila 6,003 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM287.3 juta.
Setakat 24 Mac lalu, sejumlah 1,392 kes penipuan panggilan dilaporkan kepada PDRM membabitkan kerugian bernilai RM38.199 juta.
“Ini merupakan situasi yang perlu ditangani segera,” kata SKMM.
Sehubungan itu, SKMM menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan atau SMS yang diterima daripada pihak tidak dikenali dan mencurigakan, serta segera merujuk atau melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa yang berkenaan.
Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung insiden penipuan (scam) kepada PDRM CCID Scam Response Centre melalui talian 03-2610 1559 atau 03-2610 1599 yang dibuka setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 8 malam.