KOTA MELAKA | Tiga pekerja pembersihan hari ini tidak menyangka apabila menerima bakul makanan menerusi Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI).
Sumbangan itu disampaikan oleh Ketua BERSATU Bahagian Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim di Taman Laksamana Cheng Ho ketika melalui kawasan tersebut.
Menurut seorang penerima, Farhana Md. Yusof, 42, dia dan rakan-rakannya memang tidak menyangka akan dapat bantuan makan tersebut.
“Agak terkejut kerana ketika sedang membersihkan kawasan sekitar, kami di sapa oleh ahli BERSATU selain mereka singgah untuk bertanya khabar.
“Kami diberikan bakul makanan yang berisi minyak masak, makanan dalam tin, teung, gula dan beberapa barang keperluan lain,” katanya.
Bagi rakannya, Sutija Mohd Ikhlas, 66, menzahirkan terima kasih kepada Hishamuddin kerana menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan.
Marsiani pula berkata, sebagai pekerja pembersihan, memang jarang sekali ada orang yang mahu berbual atau bertanyakan khabar mengenai kehidupan mereka.
“Hari ini rezeki kami kerana mendapat bakul makanan. Terima kasihlah dan kami hanya dapat doakan kebaikan kepada orang-orang yang memberi bakul makanan ini,” katanya.
Sementara itu, Hishamuddin berkata, pihaknya akan sedaya upaya menghulurkan bantuan bakul makanan serta bantuan lain apabila terserempak dengan mana-mana orang walaupun di atas jalan raya.
“Mungkin ada orang yang tercicir nama mereka daripada menerima bantuan ini kerana mereka tidak tahu cara memohon,” katanya. SUMBER: BERITA BERSATU