PUTRAJAYA: Kira-kira 250 dos vaksin diberikan kepada petugas media di seluruh negara, sejak golongan yang ditakrifkan sebagai petugas barisan hadapan itu mula diberi suntikan pelalian pada Rabu lalu.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata prestasi pemberian suntikan vaksin untuk media ketika ini berada pada tahap lima peratus daripada keseluruhan 5,000 nama yang disenaraikan dan diberikan kepada Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).
Katanya, CITF juga dalam proses memberikan janji temu kepada petugas dalam senarai berkenaan, termasuk mereka yang akan membuat liputan ke Sukan Olimpik Tokyo pada penghujung bulan depan.
“Hari ini kita mula memberi vaksin kepada lebih 38 petugas media, daripada 47 agensi tempatan dan antarabangsa yang akan membuat liputan di Sukan Olimpik Tokyo bagi mendapatkan suntikan dos pertama mereka di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEV) dengan bantuan Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM).
“Selebihnya bagi petugas yang mendapat suntikan dos pertama seperti AstraZeneca, CITF akan mengatur janji temu dos kedua mereka supaya mereka sempat melengkapkan perlindungan mereka sebelum berlepas pada bulan depan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat CITF, di sini hari ini. SUMBER: BERITA HARIAN.