BUCHAREST | Austria membuka kempen aksi Euro 2020 dengan kemenangan besar ke atas Macedonia Utara, awal pagi tadi.
Lapor Agensi, penjaring gol Austria, Michael Gregoritsch jelas ‘tenggelam’ dalam emosinya selepas membantu negaranya meraih kemenangan itu.
Gregoritsch meledak gol kedua untuk meletakkan nama selaku penjaring bersama Stefan Lainer dan Marko Arnautovic pada aksi yang berakhir dengan keputusan 3-1 itu.
Dengan kemenangan itu, penyerang Augsburg berkenaan mengakui dia ‘terharu’ selepas menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan utama.
“Sangat menakjubkan. Jaringan ini adalah segalanya untuk saya,” katanya kepada ORF sambil menitiskan air mata.
“Hari ini adalah hari lahir abang saya. Saya mengharungi tahun yang sukar. Ia (jaringan ini) untuk mereka yang percaya pada saya, keluarga dan teman wanita. Sangat mengagumkan, ia berkelas dunia,” katanya.
Dia turut berkata ‘saya mengharungi tahun yang sukar selama dua tahun dan tidak menjangkakan akan membarisi skuad kali ini’.
“Saya berikan segalanya pada sesi latihan dan syukur kepada Tuhan, saya dapat menjaringkan gol. Saya sangat terharu ketika ini.
Sementara, di Amsterdam pula, Belanda menewaskan Ukraine 3-2 pada penampilan pertama mereka dalam tempoh tujuh tahun di kejohanan utama.
Memetik AFP, Kapten pasukan, Georginio Wijnaldum meledak gol pembukaan pada minit ke-52, sebelum Wout Weghorst menggandakan kedudukan buat skuad The Oranje.
Ukraine bagaimanapun, menampilkan kebangkitan dengan dua gol pantas menerusi Andriy Yarmolenko dan Roman Yaremchuk.
Namun, tandukan Denzel Dumfries ketika perlawanan berbaki lima minit memberikan kemenangan buat skuad bimbingan Frank de Boer itu.