KUALA LUMPUR | Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di beberapa lokaliti di Johor, Sarawak dan Sabah berkuatkuasa 16 Jun sehingga 29 Jun ini.
PKPD selama 14 hari bermula Rabu ini membabitkan asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera, Tanjung Agas, Tangkak, Johor; Rumah Panjang Alat Anak Mukan dan Mukah Palm Oil Mill di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak.
Di Sabah membabitkan Kampung Sundang Laut, Sandakan; Country Heights Apartment dan Vista Minintod Apartment, Penampang dan Kampung Skim Cocos, Kunak.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera secara kumulatifnya seramai 128 individu positif COVID-19 daripada 237 penghuni yang menjalani ujian saringan COVID-19.
Katanya, di Rumah Panjang Alat Anak Mukan seramai 31 individu positif COVID-19 daripada 70 orang disaring dan di Mukah Palm Oil Mill di Bukit Dinding, Mukah, Sarawak seramai 10 positif COVID-19 daripada 14 yang disaring.
“Di Kampung Sundang Laut seramai 10 individu positif COVID-19, manakala di Country Heights Apartment 18 kes positif dan di Vista Minintod Apartment 14 kes positif.
“Sementara itu, di Kampung Skim Cocos seramai 10 kes positif COVID-19 daripada 24 ujian saringan yang dibuat,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, PKPD dilaksanakan bagi memastikan penduduk yang berisiko kekal berada dalam kawasan PKPD.