BRASILIA | Lionel Messi menegaskan dia tidak percaya sekiranya Argentina terlalu bergantung kepadanya dan melihat pasukan itu berada pada ‘landasan yang betul’ menjelang Copa America 2021.
Messi sememangnya antara pemain terbaik dunia dengan pelbagai kejayaan di peringkat kelab dan peribadi, namun masih kempunan menggondol sebarang trofi bersama Argentina.
Dia berpeluang menamatkan kemarau itu pada Copa America kali ini, namun selepas kritikan yang menyatakan Argentina terlalu bergantung kepadanya, Messi memberitahu situasi itu sama sekali tidak berlaku.
“Pasukan kebangsaan tidak pernah bergantung kepada saya. Kami sentiasa mencuba untuk jadi pasukan yang kuat. Kalau kami bukan satu pasukan yang kuat, ia menyukarkan kami untuk menang dan mencapai objektif.”Tetapi, saya rasa kami masih kuat sebagai satu pasukan. Ramai pemain di sini sudah lama bersama dan beraksi di Copa America, jadi kami ada pengalaman itu. Kami masih berlatih dan saya fikir kami berada pada landasan yang betul.”
Argentina akan membuka kempen mereka bertemu Chile, pasukan yang mengecewakan mereka pada pentas final 2015 dan 2016.Meskipun peringkat kumpulan dilihat agak mudah apabila hanya dua daripada 10 pasukan bakal tersingkir, Messi tetap mahu membuka kempen itu dengan langkah kanan.
“Kami perlukan kemenangan yang penting dan juga perlu menang perlawanan pertama untuk memulakan kempen dengan tiga mata. Ia memberikan ketenangan untuk mengharungi perlawanan seterusnya.
“Kami tahu ia adalah perlawanan yang sukar. Menentang Chile sekali lagi dan kami tahu mereka bukanlah lawan yang mudah.” – Agensi