KOTA BHARU | Dua Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Kelantan menghentikan pengambilan pesakit bermula hari ini susulan penurunan jumlah kes COVID-19 sejak seminggu lalu.
Pengarah PKRC, Dr Mohd Zurairie Mohd Zubir berkata, dua PKRC iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Laut di Tumpat dan PKRC SMK Salor, di sini, kini hanya mempunyai 200 pesakit.
Katanya, selepas 200 pesakit ini tamat tempoh kuarantin, dua PKRC itu akan diletakkan dalam keadaan bersedia atau ‘standby mode’.
“Dua PKRC itu akan diletakkan dalam keadaan ‘standby mode’ memandangkan pihaknya tidak boleh menutup PKRC kerana tidak tahu keadaan pada masa akan datang.
“Penutupan PKRC hanya akan diputuskan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin selepas mengambil kira beberapa faktor.
“Setakat ini, kita mempunyai 16 PKRC dan penggunaan katil dalam kadar purata antara 60 hingga 70 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan di PKRC Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, jumlah pesakit semasa di PKRC kini seramai 1,330 individu, manakala jumlah katil sebanyak 2,930. Baki penggunaan katil masih ada 1,500 yang mampu menampung keperluan pesakit buat masa ini.