KUALA LUMPUR | Pemain bintang sensasi, Cristiano Ronaldo tidak mahu menjanjikan gelaran juara buat Portugal dalam saingan Euro 2020, sebaliknya akan berusaha sebaik mungkin untuk mempertahankan gelaran itu.
Tidak menganggap satu tekanan, lapor Football Italia, pemain Juventus itu akan mengekalkan motivasi untuk menang di setiap perlawanan walaupun berada di kumpulan maut pada kejuaraan berenaan.
Juara bertahan, Portugal dan juara Piala Dunia, Perancis dan Jerman diundi dalam satu kumpulan di pusingan akhir Euro 2020
Ronaldo tidak menafikan bahawa pasukannya adalah skuad pilihan dan akan memastikan Portugal bersiap sedia menghadapi setiap perlawanan.
“Ini adalah perlawanan yang harus kami hadapi. Kami hormat semua pasukan dan tiada pertandingan yang mudah.
“Apapun saya akan menjadikan pentas Euro 2020 seolah-olah pertama kali menghadapinya. Saya rasa cukup bermotivasi malah lebih motovasi daripada Kejuaraan Euro yang pertama kali saya terbabit, pada 2004.
“Kami adalah juara bertahan, dan kali ini kami kembali lagi sebagai calon juara. Tiada gunanya untuk berjanji menjadi juara atau menjangkakannya, sebaliknya apa yang boleh saya janjikan adalah kami akan menghadapi setiap perlawanan untuk menang,” kata Ronaldo dalam wawancara dengan majalah Federasi Sepakbola Portugal ‘360’.
Cristiano Ronaldo bersama Portugal akan memulakan perlawanan pembukaan Euro 2020 dengan menentang Hungary pada pada Selasa ini di Puskas Arena, Budapest.