Mungkin ramai peminat bola sepak yang ternanti-nanti aksi kumpulan F Euro 2020 yang dihuni juara bertahan, Portugal dan juara Piala Dunia, Perancis, Jerman dan Hungary.
Mana tidaknya, sukar untuk menjangkakan siapa yang akan bertahan dalam kumpulan maut ini sebelum mara ke peringkat 16 terbaik.
Skuad masing-masing mempunyai kelebihan, dan tidak boleh dipandang ringan. Cuma apa yang boleh dilihat, mungkin ini adalah misi Perancis untuk membalas dendam dengan isingkirkan Portugal selepas ‘dimalukan’ pada pentas akhir Euro 2016.
Pada Euro 2016, Portugal berjaya merebut gelaran juara daripada Perancis yang ketika itu menjadi tuan rumah, 1-0 hasil jaringan pemain gantian, Eder pada masa tambahan.
Portugal bukan saja ‘memalukan’ Perancis di tempatnya sendiri, malah turut menggagalkan misi The Blues mendapatkan gelaran juara kali ketiga dalam Kejuaraan Euro. Jadi ini adalah peluang terbaik buat Perancis menebus ‘malu’ dengan menyingkirkan lebih awal Portugal di peringkat kumpulan.
Tambahan pula, pemain muda yang membarisi pasukan Perancis bukan calang-calang, seperti Kylian Mbappe dan N’Golo Kante. Walaupun kebanyakan pasukan ketika ini dipelopori generasi muda, namun mereka bakal menjadi pemain bintang menggantikan pemain senior.
Mbappe yang berusia 22 tahun kini bersama Paris Saint-Germain (PSG) pernah dinobatkan anugerah ‘Golden Boy’ apabila muncul sebagai Pemain Muda Terbaik Ligue 1. Begitu juga Kante yang baru saja membantu Chelsea memenangi Liga Juara-Juara.
Mungkin pemain ini adalah antara harapan Perancis untuk memenangi setiap perlawanan terutama pembukaan menentang Jerman, Rabu ini, Hungary (19 Jun) dan Portugal (24 Jun).
Perlu diingatkan juga Jerman antara pasukan kuat apabila empat kali juara Piala Dunia dan tiga kali Euro. Ia bukan sesuatu yang mudah buat Portugal dan Perancis walaupun negara yang merebut sekurang-kurangnya tempat kedua dalam kumpulan F.
Walaupun Portugal mempunyai pemain bintang, Cristiano Ronaldo, namun disebabkan faktor umur, mungkin akan memberi sedikit tekanan. Mujur Portugal masih boleh mempertaruhkan pemain muda, Joao Felix yang dikatakan bakal menggantikan tempat Ronaldo sebagai pemain terbaik dunia.
Selain Felix dari Atlético Madrid, Bruno Fernandes dari Manchester United juga dikatakan antara pemain muda terbaik yang boleh memberi harapan kepada Poltugal berdepan dengan pasukan juara lain.
Begitupun tiga skuad terbaik iaitu Portugal, Perancis, dan Jerman mempunyai rekod terbaik, namun mereka tidak boleh memandang rendah pasukan Hungary yang menjadi ‘underdog’. Hungary pernah mengikat Portugal 3-3 dalam saingan kumpulan F pada Euro 2016 menyebabkan Portugal berada di kedudukan ketiga dan hampir gagal mara ke pusingan 16 terbaik.
Walaupun Portugal ketika itu yang dianggap pasukan ‘underdog’ berjaya mara ke pusingan seterusnya, namun semua tidak menjangkakan bahawa skuad berkenaan berjaya merangkul gelaran juara Euro 2016.
Agak sukar untuk menjangkakan siapa yang berada di kedudukan kedua teratas, dan skuad manakah yang tersingkir dalam kumpulan F memandangkan dalam percaturan bola sepakk, kadang-kadang perkara tidak dijangka boleh berlaku. Apapun ini adalah tugas berat buat skuad kumpulan maut ini walaupun masing-masing mempunyai ‘senjata rahsia’ sekalipun.
Semua peminat bola sepak perlu menunggu dan lihat dengan penuh sabar, memberi peluang kepada setiap pengendali melakukan percaturan terbaik mereka. Adat dalam pertandingan, ada yang menang dan kalah.