PUTRAJAYA | Keputusan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan diumumkan pada 17 Jun nanti jam 10 pagi.
Kementerian Pendidikan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan bermula tarikh dan masa tersebut.
Katanya, semakan boleh dibuat secara dalam talian atau menggunakan sistem pesanan ringkas (SMS).
Bagi dalam talian, calon boleh ke pautan myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my untuk mendapatkan keputusan penuh.
Menerusi perkhidmatan SMS calon perlu menghantar STAM<jarak>NoKP<jarak>AngkaGiliran dan
hantar ke 68886.
Menurut kenyataan itu lagi, perkhidmatan tersebut akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 17 Jun dan akan ditamatkan 6.00 petang, 23 Jun nanti.
Bagi calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.
Sementara itu, bagi calon persendirian yang tidak mempunyai capaian internet pula, pihak Jabatan Pendidikan Negeri atau pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti calon tersebut dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk mendapatkan keputusan peperiksaan.