KOTA BHARU | Pertubuhan Kebajikan Komuniti Prihatin Malaysia (PRIHATIN) menggesa kerajaan untuk mengenakan cukai khas keatas semua pekerja asing yang bekerja di dalam negara ini.
Presidennya, Irwan Fahmi Ideris, berkata ssaban tahun warga asing yang bekerja lama di negara ini akan pulang ke negara asal mereka dengan membawa jutaan ringgit wang keluar dari negara.
Katanya, setiap rakyat menikmati subsidi dari kerajaan melalui barangan asas dan keperluan harian seperti makanan, minyak dan gas, termasuk warga asing.
Namun, menurutnya, mereka menikmati subsidi yang sama dari kerajaan sedangkan tidak membayar apa-apa cukai selain permit dan levi semasa mereka ingin masuk kedalam negara ini.
“Mengapa hal ini terus dibiarkan berlaku begitu saja? Rakyat Malaysia berpendapatan RM3,100 keatas perlu membayar cukai pendapatan bagi memberi keseimbangan ekonomi dalam negara.
“Mengapa pekerja asing yang bertahun-tahun kerja ini tidak dikenakan cukai? Ini sama sekali tidak adil buat negara kerana mereka menikmati subsidi dari kerajaan sama seperti rakyat Malaysia yang lain.
“Sedangkan, rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara perlu membayar cukai dari pendapatan mereka sekitar 15 hingga 20 peratus hasil daripada pendapatan supaya dapat memberi keseimbangan ekonomi negara berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Justeru, Irwan Fahmi mencadangkan supaya sistem percukaian khas dibuat untuk setiap pekerja asing yang bekerja di Malaysia, misalnya melalui potongan gaji bulanan mereka daripada majikan.
“Jadi pekerja asing ini tidak dapat mengelak daripada membayar cukai dan sekiranya terdapat perbuatan untuk mengelak bayaran cukai, pihak majikan perlu bertanggungjawab sepenuhnya.
“Cukup-cukuplah mereka menikmati kemudahan negara yang diperolehi secara percuma selama ini. Kini sudah sampai masa untuk kita bertindak mendapatkan semula kutipan cukai dari mereka agar sistem ekonomi negara dapat diperkukuhkan.
“Jangan sampai tahap kita sudah tidak mampu beri subsidi kepada rakyat baru nak laksanakan sistem kutipan cukai kepada mereka,” menurut kenyataan itu lagi.